Bekas koperal SB bunuh rakan sekerja dijel 38 tahun
Oleh – Syeikh Baran
Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan seorang bekas koperal Cawangan Khas menjalani hukuman penjara 38 tahun kerana membunuh rakan setugas, 10 tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Harmindar Singh Dhaliwal memutuskan demikian terhadap Wan Masrul Faiezie Wan Mustapha, 43, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 4 Februari 2014.
Sementara itu, panel tiga hakim itu turut memerintahkan dua bekas anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Syazwan Saad, 37, dan Iskandar Zulkarnain Abdul Manaf, 37, dipenjara 36 tahun bermula dari tarikh tangkap pada 27 Julai 2015 kerana membunuh seorang operator kolam ikan, sembilan tahun lalu.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara turut memerintahkan mereka dikenakan 12 sebatan selepas membenarkan permohonan semakan untuk mengetepikan hukuman mati yang diputuskan terhadap ketiga-tiganya.
Wan Masrul Faiezie (anggota Cawangan Khas) disabitkan membunuh Lans Koperal T. Thivakar, 37, di tepi Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan, di ibu negara di antara pukul 4.11 petang dan 4.50 petang pada 4 Februari 2014.
Dalam kes melibatkan bekas anggota SMART, Syazwan dan Iskandar Zulkarnain didapati bersalah membunuh Alias Mat Noor, 52, di Lombong Tebatan Banjir, Lingkaran Putrajaya, Cyberjaya, Sepang, Selangor antara 11 malam pada 7 Julai 2015 dan 6 petang 10 Julai 2015.
Sumber – KOSMO! ONLINE