‘Kaunter khas’ bawa masuk warga asing, 4 penguat kuasa direman

Oleh – Syeikh Baran


‘Kaunter khas’ bawa masuk warga asing, 4 penguat kuasa direman

Seramai 11 individu termasuk empat penguat kuasa yang berkhidmat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) ditahan reman selepas dipercayai terlibat rasuah membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan sepatutnya.



Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nadiah Abd Razak selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Tiga penguat kuasa lelaki direman lima hari sehingga 25 Ogos, manakala seorang lagi selama tiga hari sehingga Jumaat.

Empat pemilik syarikat membabitkan dua lelaki serta seorang wanita pula direman lima hari sehingga 25 Ogos dan seorang lagi (wanita) direman selama empat hari sehingga 24 Ogos ini.

Turut direman selama lima hari adalah dua orang awam iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai bertindak menjadi wakil ejen sindiket selain seorang pengurus syarikat lelaki yang direman hingga 24 Ogos.



Menurut sumber, semua supek berusia antara 20 hingga 50-an ini ditahan bagi membantu siasatan terhadap satu sindiket membawa masuk warga asing menerusi KLIA2 menggunakan modus operandi ‘Counter Setting’ atau laluan ‘Kaunter Khas’.

Tindakan itu dibuat dengan bantuan pegawai penguat kuasa sebuah agensi penguat kuasa.

“Sindiket terbabit dipercayai bersekongkol dengan beberapa pegawai agensi penguat kuasa yang bertindak mengatur laluan ‘kaunter khas’ khusus untuk kumpulan warga asing tertentu yang tiba di negara ini menggunakan khidmat penerbangan sejak beberapa tahun lalu.

“Menerusi laluan kaunter khas yang diatur ini, kumpulan warga asing yang menggunakan khidmat sindiket itu akan masuk dengan mudah tanpa perlu melalui pemeriksaan mengikut prosedur yang ditetapkan berdasarkan Pekeliling Imigresen Bilangan 4 Tahun 2021,” katanya.



Menurut sumber itu lagi, susulan operasi dijalankan, SPRM turut menyita beberapa keping pasport warganegara Pakistan dan Indonesia, 13 unit telefon bimbit, barang kemas serta kepingan emas selain wang tunai berjumlah lebih RM40,000.

“Kesemua suspek terbabit termasuk seorang penguat kuasa yang dilepaskan tanpa dibebaskan dengan jaminan SPRM sebelum ini ditahan menerusi Op Pump dijalankan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button