Suspek, mangsa bunuh pernah tinggal atas jejantas, bawah jambatan

Oleh – Syeikh Baran


Suspek, mangsa bunuh pernah tinggal atas jejantas, bawah jambatan

Lelaki Rohingya yang disyaki mengelar isteri dan dua anak sehingga mati didakwa hidup berpindah-randah termasuk tinggal di bawah jambatan, jejantas dan bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini.



Peniaga kedai makan, Mohd. Nor Md. Desa, 62, berkata, dia menyedari kehadiran suspek, isteri dan tiga anak itu di jejantas terletak berhadapan kedainya, kira-kira seminggu lalu.

“Saya perasan mereka tinggal di jejantas di depan kedai saya ini selepas terdengar bunyi tangisan anak kecil di situ. Bila hujan mereka masuk dan tinggal di bangunan kosong ini

“Kadang-kadang saya tengok mereka tiada di sini kerana mungkin pergi ke tempat lain. Dua tiga hari selepas itu mereka akan pulang semula ke sini,” katanya ketika ditemui di kedainya, di sini hari ini.

Katanya, keluarga itu juga sering datang ke kedainya untuk membeli minuman dan makanan bungkus seperti teh panas dan roti canai.



“Suspek nampak biasa dan sering memegang buku warna hijau dipercayai surah Yasin dan dia tidak pernah berbual dengan saya. Saya pernah bercakap dengan isterinya sahaja dan dia nampak biasa.

“Saya memang tidak sangka suspek sanggup bertindak kejam ke atas isteri dan dua anak kandungnya. Sebelum ini saya hanya pernah dengar tangisan anak kecil dan juga pergaduhan kecil dari bangunan terbiar ini,” ujarnya.

Menurutnya, lokasi dua mayat ditemui dengan kedainya adalah sejauh kira-kira 50 meter dengan bangunan kosong yang sebelum ini merupakan sebuah pasar raya turut menjadi sarang penagihan dadah.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button