Alat periksa tekanan darah, mentol surau pun kena ‘sapu’
Oleh – Syeikh Baran
Seorang buruh binaan warga Pakistan dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri alat periksa tekanan darah dan dua biji mentol milik sebuah surau di Tanjung Piandang, dua minggu lalu.
Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah Hussain Bilawal, 32, sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang itu didakwa telah mencuri satu alat periksa tekanan darah jenis Omron dan dua biji mentol lampu pengecas milik Surau Al-Amin di Batu 10, Tanjung Piandang dalam daerah Kerian pada pukul 5.50 pagi, 15 Ogos 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda.
Mahkamah kemudian memutuskan hukuman penjara tiga bulan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 16 Ogos lalu dan barang kes diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE