Jurujual masuk jel sebab buat laporan palsu jumpa bayi

Oleh – Syeikh Baran


Jurujual masuk jel sebab buat laporan palsu jumpa bayi

Padah membuat laporan palsu kononnya menjumpai bayi perempuan, seorang jurujual menerima hukuman setimpal apabila dihukuman penjara sehari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.



Tertuduh, Muhammad Shahril Muhamad Radzuan, 24, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi.

Hukuman penjara ke atas Muhammad Shahril juga boleh ditambah 14 hari lagi sekiranya lelaki itu gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Shahril didakwa memberi keterangan palsu kepada polis mengenai penemuan bayi di Kaunter Aduan Balai Polis Bagan Serai dalam daerah Kerian pada pukul 5.48 petang, 14 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal atas perbuatannya, namun peguam Muhammad Faizol Hashim memohon agar anak guamnya dikenakan denda minimum.



Menurut peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan itu, Muhammad Shahril yang masih bujang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Parit Buntar dengan pendapatan bulanan RM1,500.

Kosmo! pada 15 April lalu melaporkan, seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan ditemukan dalam besen yang diletakkan berhampiran tong sampah di Pekan Titi Serong, Parit Buntar.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button