Pendakwaan terhadap Muhyiddin ikut prosedur, tidak tergesa-gesa
Oleh – Syeikh Baran
Pendakwaan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 hari ini dilakukan mengikut prosedur dan tidak dijalankan secara tergesa-gesa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan yang dilakukan berhubung isu agama, raja dan kaum (3R) dilakukan mengikut masa yang telah ditetapkan iaitu selama tujuh hari.
Menurutnya, dalam tempoh tersebut, siasatan yang sudah lengkap akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum arahan pertuduhan dikeluarkan.
“Tidak timbul isu pendakwaan segera kerana kita sudah sedia maklum bahawa siasatan berkaitan isu 3R akan dibuat dalam tempoh tujuh hari. Jika hari ini siasat dan esok tuduh, itu mungkin tergesa-gesa.
“Kita berpandukan siasatan dalam tempoh tujuh hari itu. Apabila polis lambat, orang kata kita lembab. Apabila cepat (siasatan), kata tergesa-gesa pula,” katanya pada pemberita selepas Program Peluncuran Kampung Angkat Madani Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Jenal, Dabong di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Bersatu mendakwa siasatan polis berhubung ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah dilakukan secara tergesa-gesa.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pendakwaan segera ke atas Muhyiddin oleh Peguam Negara berhubung kes itu juga menimbulkan banyak lagi persoalan.
Katanya, ini kerana tindakan menyatakan fakta, terutama berkaitan Perlembagaan Persekutuan tanpa berkecenderungan menghasut tidak boleh dianggap sebagai perbuatan menghasut atau menjadi kesalahan.
Sumber – KOSMO! ONLINE