Op Liter: Pembantu penguat kuasa direman lindungi sindiket

Oleh – Syeikh Baran


Op Liter: Pembantu penguat kuasa direman lindungi sindiket

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pembantu penguat kuasa sebuah agensi penguatkuasaan di Kuching, Sarawak kerana dipercayai menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel yang beroperasi di Sibu.



Perintah reman selama enam hari sehingga 2 September terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Mason Jaro selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuching, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek telah ditahan di Pejabat SPRM Sarawak sekitar pukul 3.25 petang semalam ketika hadir bagi dirakamkan keterangan.

“Tangkapan terhadap pembantu penguat kuasa ini adalah susulan Op Liter dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM di sebuah depoh penyimpanan minyak di Sungai Bidut, Sibu pada Ahad lalu.

“Suspek dipercayai telah menerima wang rasuah berkenaan daripada sindiket terbabit bagi melindungi kegiatan penyeludupan minyak diesel bersubsidi dan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang,” katanya hari ini.



Semalam Kosmo! melaporkan, dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak direman kerana terbabit sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi dan merasuah pegawai agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Suspek dipercayai terbabit dengan sindiket penjualan minyak diesel bersubsidi bagi kegunaan nelayan, namun dijual pada kadar harga lebih tinggi kepada pembeli dari luar negara.

Sindiket itu juga dipercayai telah beroperasi sejak tahun 2012 dan mengaut keuntungan sehingga RM400 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.



“(Saya) tidak menolak kemungkinan akan ada tindakan susulan serta tangkapan lain dalam masa terdekat,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button