Datuk Feardaus tipu RM5.5 juta projek lebuh raya tak wujud

Oleh – Syeikh Baran


Datuk Feardaus tipu RM5.5 juta projek lebuh raya tak wujud

Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menipu projek lebuh raya tidak wujud bernilai RM5.5 juta antara 2022 dan 2023.



Tertuduh, Mohamad Feardaus Khairuddin, 50, membuat pengakuan tersebut selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Berdasarkan dua pertuduhan, Mohamad Feardaus didakwa telah menipu dua lelaki berusia 54 dan 58 tahun sebanyak RM5 juta dalam urusan menawarkan projek merekabentuk, membina dan menyiapkan Lebuh Raya Padang Besar – Bukit Kayu Hitam -Jitra-Padang Terap – Teloi – Kulim -Changkat Jering (Northern Ekspress Alternative Road) yang tidak wujud.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Seri Kembangan, Kajang antara 4 November hingga 9 November 2022.

Bapa kepada enam anak itu juga didakwa menipu salah seorang lelaki sama bagi urusan pembayaran SST untuk projek lebuh raya sama berjumlah RM500,000 di sebuah cawangan bank di Kajang pada 13 Disember 2023.



Timbalan Pendakwa Raya Aida Khairuleen Azli menawarkan jaminan keseluruhan RM80,000 bersama seorang penjamin.

Peguam R. L. Paniercelvan mewakili tertuduh memaklumkan anak guamnya adalah seorang ahli perniagaan dengan menjalankan perniagaan sejak 10 tahun lalu dan memohon jaminan sebanyak RM40,000.

“Dia mempunyai dua isteri dan enam anak dengan paling muda berusia sembilan tahun. Anak guam saya juga tidak mempunyai pasport baharu dengan pasport lama telah tamat sebab tidak diperbaharui,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM50,000 bersama seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak dibenarkan menghubungi mana-mana saksi terutama pengadu sama ada secara langsung atau pihak ketiga.



Sebutan semula kes ditetapkan 27 September depan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button