Nenek hilang RM1.4 juta kena tipu ‘pegawai bank’ tawar pelaburan

Oleh – Syeikh Baran


Nenek hilang RM1.4 juta kena tipu ‘pegawai bank’ tawar pelaburan

Seorang warga emas wanita berusia 85 tahun kerugian sebanyak RM1.4 juta selepas terperdaya dengan tawaran skim pelaburan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank.



Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket ‘phone scam’ tersebut dikesan menggunakan taktik baharu bagi memperdaya mangsa dengan menawarkan skim pelaburan kononnya dianjurkan oleh institusi perbankan tertentu.

“Melalui satu laporan polis dibuat di Kuala Lumpur pada 27 Ogos lalu, suri rumah ini mendakwa telah menerima panggilan daripada individu menyamar pegawai daripada sebuah bank tempatan.

“Pegawai ini menawarkan pelaburan simpanan tetap dengan kadar dividen 4.8 peratus. Terperdaya dengan tawaran itu, mangsa telah diarahkan untuk memindahkan wang miliknya ke dua akaun milik pengadu sendiri,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa diarahkan untuk mengaktifkan perbankan internet bagi kedua-dua akaun bank tersebut dan memberikan akses kepada pihak sindiket kononnya bagi tujuan pengurusan wang pelaburan.



“Pengadu hanya menyedari ditipu apabila mendapati semua wang itu hilang daripada akaunnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata, setakat minggu ke-34 sehingga 25 Ogos, sebanyak 19,484 kes jenayah komersial direkodkan dengan nilai kerugian keseluruhan RM1,620,924,215.30.

Katanya, jumlah itu bersamaan 82 kes sehari dan nilai kerugian harian sebanyak RM6,810,605.95.

“Secara perbandingan, jumlah kes direkodkan setakat ini menurun lapan peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 21,274 kes.



“Nilai kerugian bagaimanapun menunjukkan trend berbeza dengan peningkatan sebanyak 28 peratus berbanding tahun lalu yang mencatatkan nilai kerugian sebanyak RM1,263,673,401.12,” ujarnya.

Berhubung aspek pertuduhan, beliau berkata, 47 peratus atau 9,231 kertas siasatan berjaya dituduh setakat tahun ini.

“Peratusan pertuduhan ini lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu, yang mencatatkan sejumlah 44 peratus atau bersamaan 9,312 daripada keseluruhan kertas siasatan yang dibuka pada tempoh tersebut,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button