Dalang sindiket wang palsu, cryptocurrency kena serbu

Oleh – Syeikh Baran


Dalang sindiket wang palsu, cryptocurrency kena serbu

Satu sindiket pembuatan wang palsu ditumpaskan dalam dua serbuan di Bandar Tun Razak di sini, pada 15 Ogos lalu sehingga penangkapan tiga lelaki warga Cameroon.



Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ketiga-tiga mereka yang berusia berusia antara 36 dan 49 tahun dipercayai dalang utama sindiket tersebut.

“Antara yang dirampas dalam serbuan ialah 4,770 keping wang kertas not RM100 dipercayai palsu, 152 keping wang kertas not USD100 dipercayai palsu dan sembilan bungkusan blok not RM100 dipercayai palsu.

“Selain itu, telefon, kunci rumah bersama kad akses, beg galas, beg bimbit, tiga plastik pembalut, gam, pisau pemotong kertas, pembaris, pita pelekat, pasport dan sebuah kereta jenama Toyota Vios,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, sindiket tersebut memulakan kegiatan menghasilkan wang palsu sejak Julai lalu untuk dijual kepada pembeli yang berminat.



“Mujurlah kita dapat sekat, kalau tidak banyak lagi penghasilan (wang palsu). Seorang daripada suspek masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial masuk ke negara ini pada 28 Julai, manakala dua lagi tidak mempunyai rekod perjalanan yang sah,” katanya.

Ujarnya, kesemua suspek direman sehingga hari ini, seterusnya akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan.

Ramli berkata, pihaknya turut menumpaskan satu lagi kes melibatkan pusat panggilan penipuan pelaburan ‘cryptocurrency’ pada 19 Ogos dengan dua serbuan di dua kediaman sekitar Kuala Lumpur.

“Seramai 21 orang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan, China (16 lelaki, seorang wanita), seorang lelaki Hong Kong, seorang wanita Laos dan seorang lelaki Myanmar dengan kesemuanya berusia antara 22 hingga 37 tahun.



“Warga tempatan yang ditahan berperanan sebagai penjaga atau ‘runner’ di pusat tersebut,” katanya.

Ujarnya, polis turut merampas antaranya 17 set komputer, 55 telefon bimbit, satu router, set kunci rumah serta dua unit penggera.

“Pusat panggilan ini baru memulakan operasi kurang dari sebulan. Sindiket menggunakan banglo mewah mempunyai dua lapisan pagar tinggi serta jauh dari jalan utama sebagai pusat operasi.

“Mereka yang ditahan berperanan mencari mangsa melalui media sosial. Mangsa yang terperdaya akan diajak melabur dengan sasaran sindiket ini dalam kalangan warga Jepun,” katanya.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button