Dua ‘konco’ along ugut, simbah cat ditahan

Oleh – Syeikh Baran


Dua ‘konco’ along ugut, simbah cat ditahan

Polis Tawau menahan dua lelaki dipercayai tali barut ‘along’ selepas melakukan ugutan dan menyimbah cat merah ke rumah mangsa di Batu 6, Jalan Apas pada 24 Ogos lalu.



Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 29 dan 31 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Felda Umas, Kalabakan, kira-kira pukul 10 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek diberkas susulan laporan oleh seorang lelaki berusia 27 tahun mengatakan pintu dan dinding rumahnya disimbah cat merah oleh individu yang tidak dikenali.

“Suspek juga meninggalkan pesanan suara dengan ugutan untuk membakar kereta mangsa dan keluarganya serta mengugut bahawa mengetahui keberadaan mangsa.

“Susulan daripada itu, sepasukan polis dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama anggota Balai Polis Bombalai mengesan dan menahan kedua-dua suspek terbabit.



“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan suspek, pasukan serbuan menemui satu bekas botol kosong terdapat kesan cat merah, sehelai kertas notis amaran ‘bayar hutang’ serta pen merah yang disimpan di dalam but belakang kereta suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil semakan rekod jenayah mendapati, salah seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkait dadah yang berlaku di Kinabatangan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button