Lelaki rosakkan Lamborghini Urus bekas majikan kerana berang dipecat

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki rosakkan Lamborghini Urus bekas majikan kerana berang dipecat

Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki merosakkan kenderaan mewah milik bekas majikannya dalam kejadian di East Park Amberhill, Taman Melawati, di sini, kelmarin.



Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut sekitar pukul 6.30 petang, Selasa lalu.

Katanya, pemilik syarikat pengawal keselamatan itu dimaklumkan oleh pekerjanya bahawa kenderaannya jenis Lamborgini Urus yang diletakkan di rumah mengalami kerosakan.

Katanya, ia disyaki akibat perbuatan khianat oleh individu yang dikenali.

“Mangsa berusia 46 tahun mengatakan kerosakan yang dialami dipercayai di bahagian kemek di bahagian bonet hadapan, cermin sisi ditoreh, cermin hadapan dan bampar hadapan pecah,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya menangkap seorang lelaki berusia 27 tahun di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, kelmarin.

“Suspek mempunyai tiga rekod lampau tidak dikehendaki bersabit pelbagai kes jenayah dan ujian saringan air kencing adalah negatif dadah,” katanya.

Jelas beliau, motif perbuatan khianat adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati kerana telah dipecat kerja oleh mangsa.

“Suspek bekerja sebagai pemandu kereta kepada isteri mangsa sebelum ini,” ujarnya.



Tambah Mohd Azam, permohonan reman dibenarkan selama empat hari bermula semalam sehingga Ahad ini.

“Kes disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan merujuk kepada mendatangkan khianat kepada kenderaan,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button