Pekerja kedai pajak gadai didakwa 65 pertuduhan pecah amanah

Oleh – Syeikh Baran


Pekerja kedai pajak gadai didakwa 65 pertuduhan pecah amanah

Seorang pembantu jualan kedai pajak gadai didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas 65 pertuduhan pecah amanah harta syarikat melibatkan kerugian hampir RM700,000 pada 6 Ogos lalu.



Bagaimanapun tertuduh, Lee Pey Loo, 27 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan pecah amanah jenayah bagi kegunaan sendiri dengan mengambil emas yang dipajak oleh 39 pelanggan berbeza daripada premis tempat dia bekerja di Jalan Pasar, di sini pada 6 Ogos lalu antara pukul 12.30 tengah hari sehingga pukul 2 petang.

Pey Loo kemudian didakwa memajak kesemua barangan emas yang terdiri daripada barangan kemas serta jongkong emas di beberapa premis pajakan lain di sekitar daerah ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ezuain Farhana Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shuhairil Ziqrul Sapi.



Dalam prosiding Ezuain Farhana memohon agar tertuduh dikenakan wang ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan melapor diri di Balai Polis Kuantan setiap bulan dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mohd. Shuhairil Ziqrul yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar mahkamah mempertimbangkan untuk mengenakan wang jaminan minimum berikutan anak guamnya yang telah berhenti bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin berjumlah RM71,500 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan. Mahkamah turut menetapkan 2 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button