Tiga lelaki ditahan pukul pekerja kedai serbaneka

Oleh – Syeikh Baran


Tiga lelaki ditahan pukul pekerja kedai serbaneka

Polis menahan tiga individu bagi melakukan siasatan kes tular memukul seorang pekerja sebuah kedai serbaneka di daerah ini semalam.



Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, ketiga-tiga suspek lelaki itu ditahan kira-kira pukul 1.40 tengah hari semalam.

“Kesemua suspek merupakan lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 27 tahun hingga 36 tahun.

“Dua daripada suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes penyalahgunaan dadah,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini tular rakaman video berdurasi satu minit 46 saat yang memaparkan seorang pekerja kedai serbaneka dipukul menggunakan topi keledar di sebuah kedai serbaneka.



Menurut Zaiham mangsa yang berumur 19 tahun itu telah mendapat rawatan dan pemeriksaan di Hospital Bentong.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan.

Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati punca kejadian adalah kerana perselisihan faham dan pertengkaran mulut dipercayai selepas pekerja berkenaan memaklumkan kedai hendak ditutup.

“Polis meminta kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes dalam siasatan pihak polis,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE



 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button