‘Anak Concorde’ terbang hujung tahun ini
Oleh – Syeikh Baran
Sebuah pesawat digelar ‘anak Concorde’ berjaya melepasi tiga ujian utama menjelang penerbangan sulungnya yang dirancang pada hujung tahun ini, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) semakin hampir mencapai matlamat untuk memendekkan masa perjalanan jarak jauh dengan menggunakan pesawat berkenaan, X59.
X59 berupaya terbang pada kelajuan 1,609 kilometer sejam dan tidak menghasilkan dentuman sonik.
Apabila memulakan perkhidmatan kelak, penerbangan jarak jauh dari London ke Sydney di Australia akan mengambil masa cuma 10 jam, kurang separuh masa perjalanan pesawat komersial biasa.
NASA menyatakan, X59 juga jauh lebih senyap daripada Concorde yang telah ditamatkan perkhidmatan, antara lain kerana bunyi bisingnya sangat kuat.
Pesawat X59 dibina dengan kerjasama Lockheed Martin dan bertujuan merevolusikan perjalanan udara komersial.
Pesawat Concorde sebelum ini adalah projek usaha sama Perancis dan Britain. Concorde memulakan penerbangan komersialnya pada 1976 sebelum operasinya ditamatkan pada 2003. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE