KPDN rampas barangan seludup RM80.11 juta, tahan 496 individu

Oleh – Syeikh Baran


KPDN rampas barangan seludup RM80.11 juta, tahan 496 individu

Sebanyak 2,005 kes penyeludupan barang kawalan direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bernilai RM80.11 juta menerusi Ops Tiris 3.0 sejak 1 Januari hingga 28 Ogos lalu.



Dalam tempoh sama, seramai 496 individu berjaya ditangkap melibatkan rakyat tempatan dan warga asing.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, penyelewengan itu membabitkan bahan api diesel, petrol RON95, minyak masak polibeg, gas petroleum cecair (LPG), tepung gandum dan gula putih.

“Kementerian melaksanakan 29,487 pemeriksaan di seluruh negara. KPDN akan terus meningkatkan operasi termasuk memperkasa kerjasama dengan agensi berkaitan,” katanya selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih Bertemu Masyarakat dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Dewan Tomborungus, Kudat hari ini.

Dalam pada itu, Armizan berkata, pihaknya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mematahkan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam serbuan ke atas tiga buah premis di Nilai, Negeri Sembilan pada 23 Ogos lalu.



Sebanyak 180,200kg minyak masak bersubsidi disita selain kenderaan dan dokumen seperti invois jualan dan belian. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM490,500.

“Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dan dua lelaki asing yang juga pekerja syarikat ditahan bagi membantu siasatan. Siasatan mendapati aktiviti disyaki didalangi syarikat pemborong minyak masak berlesen. 

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button