Kumpulan pekerja asing Indonesia cetus kekecohan di Jepun
Oleh – Syeikh Baran
Sekumpulan remaja Indonesia yang bekerja di Jepun mengundang kecaman rakyat tempatan selepas menimbulkan kekecohan di negara itu demi kandungan di laman sosial, lapor saluran berita Tribunnews semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform X oleh akaun @minako_satou, salah seorang lelaki dilihat sengaja melebarkan bendera kumpulan tersebut di khalayak ramai.
Bahkan, ada antara mereka yang mengeluarkan senjata tajam seolah-olah mahu kelihatan seperti samseng.
“Beberapa orang melakukan kekecohan dan tidak menjaga sensitiviti di Jepun. Perkara yang memalukan seperti ini jangan dibawa ke negara orang,” demikian menurut keterangan video itu.
Rakaman itu meraih lebih 7.5 juta tontonan dan menimbulkan kemarahan ramai netizen.
“Sangat memalukan,” kata seorang netizen.
“Kelakukan di Jawir (Jawa) tidak perlu dibawa ke negara orang!” marah pengguna media sosial lain.
Sementara itu, laman berita Berita Satu melaporkan, kumpulan tersebut menggelar diri mereka Pemulih Harga Diri.
Ia pada asalnya adalah kumpulan anak muda yang bergabung dengan salah sebuah sekolah seni mempertahankan diri di Indonesia, sebelum berkembang pesat ke kawasan lain termasuk negara luar seperti Jepun.
Bagaimanapun, tidak dijelaskan punca kumpulan tersebut menimbulkan kekecohan itu. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE