Lima termasuk dua beranak diberkas edar 4.9kg dadah

Oleh – Syeikh Baran


Lima termasuk dua beranak diberkas edar 4.9kg dadah

Seorang wanita warga emas bersama anak perempuannya antara lima individu yang ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, minggu lalu.



Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah lebih 4.9 kilogram (kg) yang keseluruhannya bernilai RM157,964.

Katanya, pihaknya menahan tiga suspek tempatan iaitu ibu berusia 69 tahun, anak perempuan bersama teman lelakinya di sebuah pangsapuri di Taman Pelangi, di sini serta merampas sejumlah dadah dan senjata api palsu beserta peluru kapur.

“Hasil soal siasat terhadap tiga suspek itu membawa kepada penahanan dua suspek lelaki warga tempatan termasuk dalang sindiket di sebuah pangsapuri berpagar dan berpengawal pada hari sama. Kedua-dua suspek ditahan dengan sejumlah dadah.

“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan pangsapuri yang disewa sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS, di sini hari ini.



Dalam serbuan itu, polis turut merampas sepucuk senjata api palsu dengan 33 butir peluru kapur, dua buah kereta dan wang tunai bernilai RM1,385.

“Wanita warga emas itu dan anak perempuannya dipercayai ahli sindiket tersebut yang aktif sejak Julai lalu. Ujian air kencing mendapati tiga suspek lelaki dan seorang wanita positif dadah jenis methamphetamine.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati kesemua suspek berumur lingkungan 37 hingga 69 tahun mempunyai 47 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button