Bekas tentera dibenar merayu berhubung ganti rugi RM300,000
Oleh – Syeikh Baran
Seorang bekas anggota tentera hari ini dibenar merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengetepikan perintah pembayaran ganti rugi RM300,000 kepadanya akibat penahanan dalam lokap oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 311 hari, 10 tahun lalu.
Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Muhammad Maliki Abdul Halim, 37, untuk merayu keputusan itu dengan mengemukakan satu persoalan undang-undang dalam rayuan kelak.
Persoalan undang-undang itu ialah sama ada seseorang tertuduh yang disiasat di bawah Akta Angkatan Tentera 1972 dan tidak dibicarakan terus terhadap pertuduhan itu, boleh direman secara otomatik di bawah Seksyen 96(3) akta itu tanpa perlu mempertimbang prosedur reman di bawah Seksyen 94 dan Kaedah-Kaedah Acara Angkatan Tentera (Mahkamah Tentera) 1976 berhubung tahanan reman sementara menunggu perbicaran di Mahkamah Tentera.
Dalam prosiding itu, Muhammad Maliki diwakili oleh peguam-peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Shaharuddin Mohamed, Low Wei Loke dan Siti Summaiyah Ahmad Jaafar manakala Peguam Kanan Persekutuan Mohammad Al-Saifi Hashim dan Nur Ezdiani Roleb mewakili pihak responden.
Pada 14 September 2023, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang memerintahkan pemandu peribadi itu diberi ganti rugi RM300,000 akibat penahanan dalam lokap tentera selama 311 hari pada Ogos 2014 hingga Julai 2015.
Keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azimah Omar dan Datuk Wong Kian Kheong.
Mahkamah Rayuan berpendirian, Pesuruhjaya Kehakiman ketika itu, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas tersilap membuat tafsiran mengikut Seksyen 96(3) Akta Angkatan Tentera 1972 sebelum memutuskan ganti rugi kepada Muhammad Maliki.
Panel itu membenarkan rayuan kerajaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi serta memerintahkan Muhammad Maliki membayar kos RM40,000.
Responden-responden lain ialah Pegawai Memerintah Batalion ke-5 Rejimen Renjer Diraja, Leftenan Kolonel Shaifullizan Abd Aziz; pihak berkuasa sidang Panglima Bridged Kelapan Infantri Malaysia dan Panglima Angkatan Tentera dan Kerajaan Malaysia.
Pada September 2022, Mohamad Abazafree mengarahkan Muhammad Maliki diberi ganti rugi am, khas dan teladan teruk secara global sebanyak RM300,000 selepas mendapati penahanan dibuat ke atas lelaki itu adalah tidak sah dan berlaku kepincangan dalam prosedur tindakan tatatertib dibuat secara semberono.
Menerusi pernyataan tuntutan, Muhammad Maliki mendakwa beliau ditahan secara salah selepas didapati positif dadah dalam satu operasi pencegahan di Batalion 5 Rejimen Renjer Diraja, Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan.
Operasi pada 29 Mac 2014 dilakukan terhadap 26 anggota termasuk pemohon yang diperintah menjalani ujian air kencing. Sembilan daripadanya (termasuk pemohon) didapati positif dadah.
Dakwanya, penahanan salah bermula 26 Ogos 2014 hingga 3 Julai 2015 itu menyebabkan haknya bersama isteri serta kehidupannya terjejas.
Muhammad Maliki ketika itu bertugas sebagai anggota Renjer Batalion 5 Rejimen Renjer Diraja Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu.
Sumber – KOSMO! ONLINE