Paralimpik Paris: Liek Hou sumbang emas pertama, kekal gelaran
Paralimpik Paris: Liek Hou sumbang emas pertama, kekal gelaran
KUALA LUMPUR – Seperti diramal, jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou menyumbang pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas muncul juara menerusi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris sebentar tadi, juara dunia lapan kali itu tidak berdepan banyak masalah apabila menang 21-13, 21-15 ke atas pemain Indonesia, Suryo Nugroho dalam tempoh 42 minit.
Kemenangan itu turut menyaksikan Liek Hou meraih pingat emas kedua berturut-turut pada temasya sukan terbesar dunia tersebut, sekali gus mempertahankan emas yang dimenagi di Tokyo, Jepun tiga tahun lalu.
Sebaik melangkah masuk ke dalam gelanggang, pingat emas sebenarnya sudah boleh dianggap berada dalam genggaman pemain berusia 36 tahun itu memandangkan dia baru sahaja menewaskan Nugroho di peringkat Kumpulan A sebelum ini.
Beraksi sebagai pilihan utama kejohanan, Liek Hou menampilkan aksi cukup dominan dengan mengawal sepenuhnya permainan di set pertama dan berjaya meletakkan pemain lawan berada dalam tekanan sehingga melakukan banyak kesilapan mudah sebelum menang 21-13.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Penganalisa Politik Akui Najib Masih Berpengaruh
- Insiden Pendaratan Cemas Pesawat MAS, Apa Sebenarnya Yang Berlaku?
- OECD Gesa Kerajaan Kembalikan GST, Malu Apa Bossku
Berbekalkan keyakinan yang diraih menerusi kemenangan set pertama, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu terus mempamerkan aksi meyakinkan di set kedua dan mendahului permainan dengan kedudukan selesa 20-15.
Nugroho yang cuba melakukan kebangkitan dengan harapan untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, bagaimanapun terpaksa menerima hakikat bahawa dia bukan tandingan Liek Hou apabila tewas 21-15.
Sebagai rekod, di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), Liek Hou bakal menikmati habuan RM1 juta selaku pemenang pingat emas Sukan Paralimpik, sama seperti yang diterima ketika menjadi juara pada Paralimpik Tokyo sebelum ini.
Sementara itu, dalam aksi penentuan pingat gangsa yang berlangsung serentak, seorang lagi pemain negara, Muhammad Fareez Anuar terpaksa akur dengan kehebatan Dheva Anrimusthi, juga dari Indonesia apabila tewas 21-17, 19-21, 12-21. – KOSMO! ONLINE
Paralimpik Paris: Liek Hou sumbang emas pertama, kekal gelaran
DISYORKAN UNTUK ANDA :
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :