Bekas Ketua Penolong Pegawai Daerah menangis bebas tuduhan rasuah

Oleh – Syeikh Baran


Bekas Ketua Penolong Pegawai Daerah menangis bebas tuduhan rasuah

Bekas Ketua Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Kuala Langat berlinangan air mata apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan rasuah RM7,000 bagi kerja penurapan semula jalan di dua buah lorong pada 2020 dan 2021.



Hakim Datuk Anita Harun memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas Mohd. Asraf Redzuan, 41, di akhir kes pendakwaan.

Suasana pilu kemudiannya menyelubungi mahkamah itu apabila tertuduh menangis dan memeluk ibunya sebaik selesai prosiding di akhir kes pendakwaan.

Anita dalam penghakimannya menjelaskan, mahkamah membuat penilaian maksimum dan meneliti fakta serta keterangan semua 16 saksi dikemukakan pendakwaan.

“Wujud 13 elemen yang menimbulkan keraguan terutama percanggahan keterangan saksi-saksi yang tidak disokong antara satu sama lain.



Mahkamah mendapati kes pendakwaan hanya elemen mengikut keadaan dan dua pertuduhan itu adalah cacat,” katanya yang turut memerintahkan agar pasport dan ikat jamin dikembalikan semula.

Berdasarkan dua pertuduhan, Mohd. Asraf yang ketika itu bertugas Ketua Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Tanah Dan Daerah Kuala Langat telah meminta wang RM5,000 dan menerima upah RM2,000 daripada seorang lelaki berusia 44 tahun.

Ia sebagai imbuhan membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja-kerja menurap semula Lorong Orkid 4 dan Lorong Kenanga 1, Kampung Batu 10, Kebun Baru, Daerah Kuala Langat dengan harga kerja RM95,362.80.

Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Pentadbiran Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan sebuah cawangan bank di daerah ini pada 11 November 2020 dan 24 Februari 2021.



Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Aliff Shahruzaman manakala tertuduh diwakili peguam Mahmud Abdul Jumaat. Seramai 16 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Sumber – KOSMO!ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button