PRK DUN Mahkota: Calon BN jangka diumum minggu depan
Oleh – Syeikh Baran
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dijangka diumumkan pada minggu depan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dua atau tiga nama individu telah diserahkan bagi pertimbangan lanjut.
“Namun, saya tidak mahu mengulas lanjut dan biar Pengerusi BN atau BN Johor mengumumkan nanti. Ia (pengumuman calon itu) mungkin minggu depan,” katanya selepas melancarkan modul sistem hibrid RT ECO Technology di Seri Morib Palm Oil, Banting di sini, petang ini.
Jelas Menteri Perladangan dan Komoditi itu, UMNO melakukan persiapan rapi dan akan berusaha keras bagi memastikan kemenangan PRK berkenaan.
“Sama ada majoriti besar atau kecil, tiada siapa boleh memberi jaminan untuk memenangi semula sesebuah kerusi ditandingi dengan majoriti undi sama. Ia boleh naik atau turun dan perkara utamanya adalah menumpukan sepenuh perhatian kepada kempen pilihan raya,” ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE