Sanusi mengaku isteri pinangkan ibu tunggal anak satu

Oleh – Syeikh Baran


Sanusi mengaku isteri pinangkan ibu tunggal anak satu

‘Ya saya kahwin dengan anggota polis, isteri saya pergi meminang. Alhamdulillah semua sempurna dan teratur’.



Demikian pengakuan Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor setelah sekian lama berteka-teki berhubung khabar angin dia berkahwin seorang lagi, baru-baru ini.

Kata beliau, isteri baharunya itu merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai seorang anak.

“Pinangan itu dibuat oleh isteri saya berbulan-bulan lalu. Semasa hari perkahwinan isteri saya ada, anak saya pun hadir. Semua proses yang kena buat semua dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung khabar angin tersebut selepas menyampaikan geran hak milik kepada penduduk di Dewan Komuniti Felcra Belimbing Tualak, di sini hari ini.



Menyentuh tentang perkenalan dengan isteri baharunya itu, katanya, perkenalan bermula apabila wanita itu terlibat dalam siasatan kes sebuah kabin kontena kosong yang dijadikan stor dalam kawasan kediaman rasmi MB terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat.

“Selepas itu dia jadi kawan isteri saya dan ada mengaji di kuliah (bersama-sama). Tidak ada bercinta, lepas kahwin saya bercinta.

“Saya nak maklumkan bahawa percintaan selepas perkahwinan lebih indah daripada percintaan sebelum berkahwin. (Saya) Tak bercinta dan tak berjumpa,” ujarnya.

Katanya lagi, dia tidak berhasrat untuk mengisytiharkan perkara tersebut, namun berbuat demikian kerana mahu mengelak perkara itu terus disensasikan.



“Saya nak elak benda-benda sensasi, yang tidak perlu ini lah tetapi dah mai ligan, saya pun kasihan tengok hangpa (wartawan) ligan saya.

“Saya rasa tak ada isu, saya ada kuota dua lagi ya. Nanti depa kata tok lebai Pas ni kira menikah ja kan? Perkahwinan ini sunnah yang besar. Ada yang sampai peringkat wajib ada peringkat sunat,” jelasnya.

Beliau berharap penjelasannya itu dapat menjernihkan keadaan berikutan spekulasi yang disebarkan dilihat keterlaluan termasuk kononnya dia ditangkap khalwat.

Muhammad Sanusi pada masa sama menafikan kenyataannya berhubung dia berjaya menangkap orang yang mahu menangkapnya semasa berucap pada Sidang Kemuncak State Government (SG4) baru-baru ini mempunyai kaitan dengan isteri baharunya itu.



Kenyataan itu sebaliknya ditujukan berkaitan serangan yang dilakukan Kementerian Dalam Negeri oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution mengenai perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Sumber – KOSMO! ONLINE

 

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button