Peguam kemuka representasi gugur kes baling bom petrol

Oleh – Syeikh Baran


Peguam kemuka representasi gugur kes baling bom petrol

Pihak pembelaan yang mewakili empat individu dalam kes membaling bom petrol ke arah sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng Mei lalu, telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.



Perkara itu dimaklumkan peguam Haziq Aizuddin Subhi yang mewakili Muhammad Hasan Abd Hamid, 29, Muhamad Nur Kholis Muhamad Syaikhudin, 23, M. Preemraj dan Nor Rahman Sadik yang kedua-duanya berusia 25 tahun.

Menurut peguam itu, representasi yang dihantar adalah bagi menggugurkan pertuduhan yang didakwa ke atas empat anak guamnya.

“Sekiranya representasi pertama ditolak, kita akan hantar representasi kedua,” katanya ketika selepas sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersubahat bersama-sama suspek yang masih bebas melakukan khianat dengan api iaitu membaling empat botol yang dinyalakan dengan api ke arah pintu depan pusat hiburan terbabit.



Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan kelab berkenaan, di Jalan Yap Kwan Seng, Dang Wangi, Kuala Lumpur sekitar pukul 2.17 pagi pada 9 Mei lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 435 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu semasa prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi mengetahui keputusan representasi itu berikutan ia baru dihantar semalam.

Mendengar perkara itu, Haziq Aizuddin tidak membantah sekiranya mahkamah menetapkan tarikh lain bagi keputusan representasi tersebut.



Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menetapkan 25 September ini bagi sebutan semula kes dan status representasi tersebut.

Sebelum ini, tular di media sosial satu video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan empat individu menaiki motosikal membaling bom petrol di hadapan pusat hiburan di ibu negara.

Sumber – KOSMO! ONLINE!



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button