Penjual mi, tukang kunci didakwa tipu jual jongkong emas

Oleh – Syeikh Baran


Penjual mi, tukang kunci didakwa tipu jual jongkong emas

Dua sekawan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdaya seorang lelaki berhubung penjualan jongkong emas membabitkan kerugian RM32,000, Jun lalu.



Tertuduh, Teh Yong Yang,33 dan Ooi Kar Hon,42, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.

Mengikut kesemua pertuduhan, kedua-duanya didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 64 tahun untuk mempercayai bahawa dua Swiss Gold Bar adalah tulen sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM32,000.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai pajak gadai di Taman Bagan Ajam dalam daerah Seberang Perai Utara antara 12.59 tengah hari hingga 11.01 pagi pada 13 dan 14 Jun lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin memohon agar masing-masing dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi kedua-dua tertuduh.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan minima susulan Yong Yang dan Kar Hon masing-masing hanya bekerja sebagai penjual mi goreng dan tukang kunci dengan pendapatan RM2,000 sebulan.



Majistret Siti Zulaikha kemudiannya membenarkan jaminan RM14,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah juga menetapkan 9 Oktober depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Dalam prosiding berasingan, Yong Yang sekali lagi mengaku tidak bersalah selepas didakwa atas dua pertuduhan memperdaya seorang wanita berusia 45 tahun menggunakan taktik sama sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM34,000.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button