Representasi 12 pertuduhan Adam Radlan ditolak

Oleh – Syeikh Baran


Representasi 12 pertuduhan Adam Radlan ditolak

Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menolak representasi yang dikemukakan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad berhubung 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.



Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh pada keputusan representasi itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin.

“Representasi telah ditaklimatkan kepada AGC, representasi ditolak,” kata Farah Yasmin.

Justeru dengan keputusan itu, kes akan diteruskan dengan perbicaraan akan bermula pada November ini.

Mendengar perkara itu, peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam mengesahkan perkara berkenaan dan berkata pihak pembelaan akan menyoal balas saksi pertama pada perbicaraan nanti.

Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah pada 13 November 2024 yang kemudian bersambung pada 15 Januari, 19, 20, 24 dan 25 Mac, 16 dan 17 Jun, 1 hingga 3 Julai, 4 hingga 6 dan 11 hingga 13 Ogos 2025.



Dalam prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan seramai 47 saksi akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Pada tahun lalu, Adam Radlan, 43, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan rasuah dan tujuh pengubahan wang haram selepas didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Bagi lima pertuduhan rasuah Adam Radlan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.



Sementara bagi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram ahli perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button