Inisiatif Deposit Madani permudah pembeli rumah
Inisiatif Deposit Madani permudah pembeli rumah
KAJIAN Sentimen Pengguna Separuh Pertama 2024 oleh PropertyGuru Malaysia menunjukkan bahawa 74 peratus penyewa sedia ada mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh penyewaan mereka sehingga dua tahun lagi sebelum membeli rumah.
Pengurus Negara Malaysia, PropertyGuru dan iProperty, Kenneth Soh berkata, simpanan yang tidak mencukupi menjadi punca utama golongan berkenaan menangguhkan pembelian hartanah.
“Oleh itu, pengenalan inisiatif deposit Madani adalah satu langkah penting untuk mengurangkan kebimbangan ini. Dengan mengurangkan beban kewangan awal, inisiatif boleh menjadikan pemilikan rumah lebih mudah dicapai oleh ramai rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, inisiatif deposit Madani yang dicadangkan oleh Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah satu langkah yang terpuji dalam menangani cabaran keupayaan pemilikan rumah yang dihadapi pembeli rumah di Malaysia.
Sementara itu, Soh berkata 36 peratus daripada responden menyatakan bahawa ketidakmampuan menyimpan wang untuk bayaran pendahuluan adalah halangan utama.
Sehubungan itu, katanya inisiatif Madani bukan sahaja memberikan kelegaan segera dengan meringankan kos awal, tetapi juga menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda, untuk mengambil langkah pertama yang penting ke arah pemilikan rumah.
“Oleh itu, inisiatif ini menyediakan kelegaan yang amat diperlukan dan laluan yang berdaya maju ke arah pemilikan rumah,” katanya.
Mengulas lanjut, Soh menegaskan bahawa kepentingan perumahan mampu milik tidak boleh dipandang ringan. Beliau berkata, apabila halangan deposit awal diturunkan, ia membuka pintu kepada pemilikan rumah untuk segmen penduduk yang lebih luas, terutamanya mereka yang berada dalam kelompok berpendapatan sederhana dan rendah. Katanya, keterangkuman ini penting untuk membina pasaran hartanah yang adil dan saksama di mana lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai peluang untuk memiliki rumah mereka sendiri, tanpa mengira titik permulaan kewangan mereka.
Inisiatif Deposit Madani permudah pembeli rumah
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- MAS Perlukan Penyelesaian Bukan Alasan
- YB Viral Mahu Buat Comeback
- KP UMNO mahu Tuan Ibrahim desak Muhyiddin bercuti
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :