Sindiket dadah edar MDMA di ibu negara tumpas

Oleh – Syeikh Baran


Sindiket dadah edar MDMA di ibu negara tumpas

Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang bergerak aktif di sekitar ibu negara menerusi serbuan berasingan pada 30 Ogos lalu.



Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, kesemua serbuan itu membabitkan beberapa unit kediaman di sebuah residensi dekat Jalan Ipoh, di sini.

“Hasil serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 31 dan 33 tahun disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Kita turut merampas sebanyak lima peket plastik berisi bahan disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 0.126 kilogram (kg),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, siasatan lanjut dengan kedua-dua suspek membawa kepada serbuan kedua dan ketiga melibatkan dua unit berlainan di residensi yang sama.



Menurutnya, hasil pemeriksaan polis di unit kedua menemui sejumlah 144 kotak, 558 peket dan empat plastik lutsinar yang mengandungi serbuk disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 48.757 kg.

“Serbuan unit ketiga pula, polis merampas dua peket plastik lutsinar yang mengandungi dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 103.75 gram (g) dan dua aluminium foil mengandungi erimin 5 (4.32 g),” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Sukarno berkata, pihaknya turut merampas dua komputer riba dan enam telefon bimbit pelbagai jenama serta satu jam tangan dan wang tunai bernilai RM1,543.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak 48.991 kg yang dianggarkan bernilai RM59,542,” jelasnya.



Kata Ahmad Sukarno, kedua-dua suspek dipercayai aktif dalam aktiviti pengedaran sejak enam bulan lalu dan siasatan lanjut untuk mengenalpasti ahli sindiket masih diteruskan.

Jelasnya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

“Suspek lelaki mempunyai satu rekod jenayah manakala suspek wanita tiada rekod. Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 31 Ogos lalu. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button