Geng Ah Boon pakai vest syarikat utiliti pergi pecah rumah

Oleh – Syeikh Baran


Geng Ah Boon pakai vest syarikat utiliti pergi pecah rumah

Kegiatan licik sekumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Ah Boon melakukan pecah rumah dengan memakai vest tertera nama sebuah syarikat utiliti elektrik tumpas apabila empat suspek dicekup, baru-baru ini.



Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kesemua suspek lelaki termasuk ketua geng berusia antara 29 hingga 45 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di daerah Kuala Muda pada 27 Ogos dan 1 September lalu.

Katanya, kumpulan tersebut menggunakan kereta jenis Honda Accord dan menyamar sebagai pekerja syarikat utiliti elektrik dengan memakai vest berkenaan bagi mengaburi mata orang ramai.

“Suspek memakai vest itu bagi mengelak orang ramai mengesyaki perbuatan jahat mereka kerana turut melakukan pecah rumah tidak berpenghuni pada waktu siang. Namun begitu, kegiatan mereka tidak bertahan lama apabila tumpas juga,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini hari ini.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan disyaki aktif melakukan pecah rumah sejak Januari lalu.



“Susulan laporan berkaitan kejadian pecah rumah dan curi kenderaan di Taman Setia, di sini pada 27 Ogos lalu, polis melancarkan Op Pintu/Lejang dan berjaya menahan dua lelaki tempatan serta merampas sebuah kereta dan peralatan pecah rumah.

“Antara barang yang dirampas kerana disyaki hasil kegiatan pecah rumah adalah barang kemas, wang tunai, jam tangan, telefon bimbit, komputer riba, beg tangan, produk kesihatan, minyak wangi serta surat pajak gadai,” ujarnya.

Jelasnya, penahanan dua suspek itu membawa kepada tangkapan dua lagi rakan jenayah mereka pada 1 September lalu, manakala seorang lagi sedang diburu.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button