Lelaki ditetak guna pisau akibat selisih faham parkir terima 35 jahitan

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki ditetak guna pisau akibat selisih faham parkir terima 35 jahitan

Seorang lelaki cedera ditetak dengan sebilah pisau pemotong pada bahagian kepala dan tangan akibat perselisihan faham mengenai parkir di Pekan Kepong, di sini semalam.



Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima aduan dari seorang wanita berusia 43 tahun berhubung insiden yang membabitkan anak saudaranya itu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan pengadu jenis Perodua Alza telah dihalang oleh sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

“Pengadu bertindak membunyikan hon beberapa kali namun tiada respons.

“Pada pukul lebih kurang 6 petang, seorang lelaki telah berjalan kearah kereta Myvi tersebut dan berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan anak saudara pengadu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.



Kata Ahmad Sukarno, suspek kemudian bertindak menumbuk muka dan menetak kepala dan tangan mangsa dengan menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan.

“Akibat dari insiden ini, mangsa berusia 24 tahun mengalami kecederaan luka di kepala dan tangan sebelah kiri akibat ditetak.

“Mangsa diberikan rawatan di Hospital Selayang dan menerima sebanyak 35 jahitan. Mangsa kini berada dalam keadaan stabil serta diletakkan di bawah pemerhatian pihak Hospital,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Sukarno berkata, suspek berusia 27 tahun itu berjaya ditahan polis dengan bantuan orang awam di lokasi kejadian.



“Turut dirampas ketika tangkapan adalah sebilah pisau pemotong sepanjang 32 sentimeter (cm) yang digunakan ketika kejadian, sebuah kereta Perodua Myvi dan segugus kunci,” jelasnya.

Tambahnya, suspek kini direman selama lima hari bermula hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk membantu siasatan.

“Hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau kesalahan dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video di laman media sosial X berhubung kejadian tersebut.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button