Pura-pura beli untuk ibu sebelum larikan rantai emas
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki berpura-pura mahu beli rantai emas sebagai hadiah untuk ibu sebelum melarikan barangan kemas bernilai RM24, 800 dari sebuah kedai emas di Bandar Botanik, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 petang, suspek kemudian melarikan diri menggunakan motosikalnya yang diparkir di hadapan premis itu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan mendapati suspek berusia 28 tahun itu telah hadir ke premis tersebut dengan menaiki sebuah motosikal.
Katanya, mangsa kemudiannya berpura-pura sebagai pelanggan dan mendekati penjual wanita berusia 25 tahun.
“Suspek menyatakan ingin mencari dan membeli rantai emas sebagai hadiah kepada ibunya. Jurujual tersebut kemudiannya telah mengeluarkan seutas rantai leher yang dipilih suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kata beliau, suspek telah keluar dari kedai itu untuk bercakap dengan menggunakan telefon bimbitnya.
Tambah Hoong Fong, lelaki itu kemudiannya memasuki semula kedai tersebut dan mengambil rantai emas tersebut seterusnya melarikan diri menggunakan motosikal.
“Justeru, polis kini sedang mengesan suspek yang telah dikenal pasti iaitu Muhamad Syafiq Zaharudin dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE