Murid ditampar guru sebab salah barisan kelas

Oleh – Syeikh Baran


Murid ditampar guru sebab salah barisan kelas

Hanya kerana tersalah barisan kelas menyebabkan seorang murid tahun dua ditampar gurunya di padang sebuah sekolah rendah di sini, semalam.



Kejadian tersebut menyebabkan pipi kanak-kanak berusia 8 tahun tersebut bengkak dan disedari ibunya ketika mengambil dari sekolah kira-kira pukul 5.50 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Ambia Nordin berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa dengan siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa baru selesai latihan rumah sukan.

Katanya, kesemua murid kemudiannya telah diminta untuk beratur mengikut kelas masing-masing sebelum pulang ke rumah namun mangsa telah tersalah kelas.

“Semasa sedang berjalan untuk masuk ke dalam barisan kelas, seorang guru lelaki telah menampar mangsa.



“Tamparan itu dibuat guru berkenaan dengan tangan kanan secara ‘backhand’ sebanyak satu kali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, mangsa kemudiannya menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya selepas ditanya mengenai kesan di bahagian pipi kanan ketika diambil selepas tamat sesi persekolahan.

Kata Mohd. Ambia, mangsa telah menerima rawatan di Hospital Tanjung Karang dan ulasan oleh doktor terdapat kecederaan tisu lembut.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” ujarnya.



Terdahulu, tular hantaran di media sosial berhubung seorang kanak-kanak ditampar gurunya dengan terdapat kesan tapak tangan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button