Kes Sungai Penchala: Anak mengaku bunuh ibu bapa

Oleh – Syeikh Baran


Kes Sungai Penchala: Anak mengaku bunuh ibu bapa

Seorang lelaki yang membunuh ibu dan bapanya dalam kejadian tragis di sebuah rumah di Sungai Penchala hujung tahun lalu, mengaku bersalah atas pertuduhan itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.



Tertuduh Afendi Muhammad Agus, 43, membuat pengakuan bersalah itu selepas dua pertuduhan dibacakan semula terhadapnya di hadapan Hakim K.Muniandy.

Hari ini merupakan sebutan semula kes itu selepas dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa membunuh bapanya Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan ibunya Darlisma Njatu Saleh, 72.

Kesalahan itu didakwa di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6 di sini masing-masing pukul 7.10 malam dan 7.20 malam pada 9 Disember 2023.



Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam Mohd. Ruzaini Zulkifli memaklumkan oleh kerana baru dilantik beliau memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi sebutan semula kes.

Ia kerana pihaknya perlu meneliti dokumen berikutan pengakuan salah tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan itu.



Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Ishak tidak membantah sekiranya mahkamah menetapkan tarikh lain untuk peguam meneliti dokumen kes berhubung pengakuan salah tertuduh.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, mahkamah merekodkan bahawa tertuduh memahami sebab dan akibat pengakuan salahnya mengikut Seksyen 302 itu.

Hakim Muniandy kemudian menetapkan 10 Oktober ini bagi sebutan kes.

Pada 9 Disember tahun lalu Kosmo! melaporkan jeritan minta tolong seorang wanita yang didengari jirannya merungkaikan penemuan pasangan warga emas mati dibunuh di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, di sini.



Menurut jiran, jeritan itu dipercayai daripada wanita yang dibunuh anak lelakinya berusia 40-an kira-kira pukul 7 malam.

Pasangan yang dibunuh itu merupakan keluarga yang dikenali ramai penduduk di sini sekali gus menimbulkan suasana suram dalam kalangan penduduk.

Sejurus selepas kejadian, suspek yang melarikan diri kemudian berjaya diberkas polis dan ditahan ketika bersembunyi di terowong Penchala di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint), di sini.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button