Dera budak: Kekasih ibu pula ditangkap

Oleh – Syeikh Baran


Dera budak: Kekasih ibu pula ditangkap

Seorang lelaki yang merupakan kekasih kepada suspek wanita dalam kes penderaan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun akhirnya ditangkap polis, semalam.



Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Ambia Nordin berkata, suspek berusia 26 tahun itu berjaya diberkas di sebuah rumah di Sik, Kedah kira-kira pukul 4.30 petang.

Katanya, tangkapan dibuat dengan kerjasama sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik dan IPD Kuala Selangor.

“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

“Tangkapan telah dibawa ke IPD Kuala Selangor dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.



Beliau menjelaskan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Selangor pagi ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun diseksa dipercayai sejak empat tahun lalu dengan cara dicubit, ditumbuk dan disiram dengan air panas oleh ibu kandungnya dan kekasih wanita itu.

Perbuatan tidak perikemanusian pasangan itu terbongkar selepas mangsa menceritakan perkara tersebut kepada nenek­nya yang kemudiannya memaklumkan kepada bapa kandung kanak-kanak terbabit yang berusia 28 tahun.

Ibu kandung mangsa yang berusia 32 tahun ditahan kelmarin di rumahnya di sekitar Kuala Selangor dan direman selama lima hari.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button