Kertas siasatan pemerdagangan manusia babit ahli politik dirujuk AGC
Oleh – Syeikh Baran
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melengkapkan siasatan berkaitan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan lanjut merujuk Jabatan Peguam Negara (AGC) akan dibuat untuk cadangan tindakan seterusnya.
“Siasatan kes telah selesai dilakukan dengan mengambil keterangan dari 11 individu termasuk Mashitah dan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri.
“Siasatan polis ke atas Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan suaminya tidak menemui bukti pasangan itu terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
“Namun kertas siasatan itu akan dirujuk AGC bagi mendapatkan cadangan tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
28 Ogos lalu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) meminta SPRM menyiasat seorang ahli politik di negara ini yang didakwa terbabit sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Hasil pemeriksaan polis mendapati tiada pelaburan dibuat beberapa individu termasuk bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu di luar negara yang mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut.
Berdasarkan hasil analisis beberapa akaun bank individu yang mendapati wang dalam akaun bank merupakan wang simpanan.
Selain itu, polis mengesahkan keberadaan ahli politik bersama suaminya serta tiga lagi individu ke Myanmar untuk urusan pelaburan hartanah namun siasatan mendapati tiada sebarang pelaburan dibuat.
Siasatan polis setakat ini juga masih belum terdapat pembuktian kukuh untuk membabitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia.
Sumber – KOSMO! ONLINE.