Polis tersilap kejar suspek kes dadah boleh dipecat

Oleh – Syeikh Baran


Polis tersilap kejar suspek kes dadah boleh dipecat

Tiga pegawai polis di wilayah Chiang Rai berdepan tindakan dilucut jawatan selepas tersilap mengenal pasti seorang wanita sebagai suspek kes dadah dan cuba menangkapnya, lapor laman berita Thaiger hari ini.



Pada 2 September lalu, seorang wanita berusia 22 tahun membuat laporan polis selepas sekumpulan lelaki dikatakan cuba menculiknya ketika mangsa menunggang motosikal pada waktu malam.

Tiga lelaki menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) itu memintas wanita berkenaan sebelum mereka keluar dari kenderaan untuk menahannya.

Mangsa kemudian melarikan diri menggunakan motosikal sebelum dia dibantu beberapa penduduk setempat.

Selepas laporan polis dibuat, tiga pegawai berkenaan menyerah diri semalam, dan mengaku bahawa mereka tersilap orang dalam mengesan identiti suspek sebenar.



Komander Polis Wilayah Chiang Rai, Manop Saenakun memberitahu media bahawa pegawai-pegawai itu mesti dikenakan hukuman berat kerana tindakan mereka dianggap di luar skop tugas.

Tambah Manop, ketiga-tiga mereka boleh dibuang kerja jika pegawai Balai Polis Mae Yao mendapati bahawa tindakan tersebut melanggar mana-mana undang-undang yang serius. – AGENSI 

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button