Teresa pertimbang ambil tindakan undang-undang terhadap Dr Muhamad Akmal

Oleh – Syeikh Baran


Teresa pertimbang ambil tindakan undang-undang terhadap Dr Muhamad Akmal

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh susulan kenyataan balas Ketua Pemuda UMNO itu berkait isu pensijilan halal, termasuk mahu ‘logo tidak halal’ ditampal pada dahi pemimpin DAP berkenaan.



Teresa yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, beliau sedang mendapatkan nasihat undang-undang daripada barisan peguamnya berhubung perkara terbabit.
 

“Saya akan berbincang dengan peguam saya (sekali lagi) selepas sesi ini,” katanya kepada pemberita setelah memberi keterangan di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal dipetik menempelak tindakan Teresa yang dilaporkan mendakwa bahawa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan, hanya menambah beban terhadap peniaga.

Dr Muhamad Akmal dilapor menegaskan perolehan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bukan saja membabitkan larangan kandungan arak serta babi tetapi turut merangkumi bagaimana sesuatu makanan itu disediakan dan sumber penyediaannya.

“Saya nak beritahu… sijil halal dulu berbulan nak dapat. Hari ini, kita sudah pendekkan hingga 23 hari saja sudah dapat sijil halal.



“Jadi, apa masalah kamu dengan sijil halal ini. Kalau kamu tidak suka, ia tidak membabitkan kamu pun,” kata Dr Muhamad Akmal melalui TikTok beliau, Sabtu lalu.

Media sebelum ini melaporkan Teresa mendakwa pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela untuk membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP dipetik mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.

Selain itu, Teresa mendakwa, ia juga bertentangan semangat kepelbagaian budaya, malah mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.



Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, bahawa JAKIM sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran serta syarikat makanan untuk memiliki sijil halal.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilapor menegaskan kenyataan Teresa dalam isu pensijilan halal itu tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH), selain mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button