Rewcastle-Brown gagal rayu perintah bayar ganti rugi RM300,000 kepada Sultanah Nur Zahirah

Oleh – Syeikh Baran


Rewcastle-Brown gagal rayu perintah bayar ganti rugi RM300,000 kepada Sultanah Nur Zahirah

Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua yang lain gagal merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membayar ganti rugi berjumlah RM300,000 kepada Sultanah Nur Zahirah kerana didapati memfitnah Sultanah Terengganu itu.



Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Rewcastle-Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan syarikat pencetakan Vinlin Press Sdn Bhd bagi mendapatkan kebenaran merayu keputusan mahkamah yang mendapati mereka memfitnah melalui buku “The Sarawak Report – The Inside Story of the 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Exposé.”
 

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, yang dipengerusikan Tan Sri Nallini Pathmanathan, sebulat suara memutuskan bahawa ketiga-tiga perayu, gagal memenuhi syarat bahawa terdapat isu baharu yang perlu diputuskan dan ia adalah kes berkepentingan awam.

Nallini dalam keputusan panel berkata analisis linguistik dan tatabahasa yang kompleks sudah dijalankan dalam kes itu, yang bertentangan dengan pendekatan terus, bagi menentukan sama ada perkataan yang dipertikaikan, adalah memfitnah.

Turut bersidang, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Nallini berkata, pengertian atau maksud di mana perkataan itu difahami oleh Rewcastle-Brown, adalah tidak relevan.



“Oleh itu, ini bukan mengenai soal undang-undang baharu atau kepentingan awam yang memerlukan ia diputuskan di mahkamah ini.

“Buku itu mengandungi asas penting pendedahan 1MDB. Petikan ini merangkumi sebahagian daripada buku itu. Walaupun kepentingan buku itu tidak boleh diremehkan, ia tidak dan tidak boleh memberikan kekebalan kepada pengarang apabila terdapat fitnah pihak ketiga.

“Dalam konteks ini, semua pihak adalah sama rata di sisi undang-undang dan tertakluk kepada layanan sama rata oleh mahkamah,” katanya.

Nallini berkata, hakikat bahawa Sultanah Nur Zahirah adalah ahli keluarga diraja, tidak menghalangnya daripada membawa tuntutan itu di mahkamah dan dilayan seperti mana-mana orang awam.



Katanya, fakta latar belakangnya tidak sepatutnya dipertikaikan, kerana semua adalah sama di sisi undang-undang.

Pada 31 Oktober 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman baginda terhadap Rewcastle-Brown, Ton Sin dan Vinlin Press berhubung dakwaan fitnah dalam buku berkenaan.

Bagaimanapun, pada 12 Disember 2023, Mahkamah Rayuan mengarahkan tiga pihak itu membayar ganti rugi berjumlah RM300,000 kepada Sultanah Nur Zahirah selepas membenarkan rayuan baginda.

Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman pada 21 November 2018, dengan mendakwa kenyataan dalam buku itu antara lain bermaksud baginda terbabit rasuah dan campur tangan dalam pentadbiran kerajaan Terengganu.



Selain itu, Sultanah Nur Zahirah dikatakan menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya dikenali 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah menuntut ganti rugi am RM100 juta daripada setiap responden dan perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah serta pencetak berhenti mencetak buku berkenaan.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button