Tohmahan Siti Bainun Hakim Sesyen berat sebelah tidak berasas

Oleh – Syeikh Baran


Tohmahan Siti Bainun Hakim Sesyen berat sebelah tidak berasas

Mahkamah Tinggi di sini berpendapat Hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar kes Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali membuat keputusan yang betul dalam mensabitkan wanita itu atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down Bella.



Hakim Datuk Noorin Badaruddin berkata isu tohmahan yang dibangkitkan pihak Siti Bainun, 32, selaku perayu yang mengatakan bahawa Hakim Sesyen berat sebelah dan meyembunyikan fakta adalah satu perkara serius yang diambil berat oleh Mahkamah Tinggi.

“Mahkamah ini mendapati terdapat tohmahan-tohmahan yang tidak berasas yang dibuat oleh pihak perayu (Siti Bainun) yang telah ditujukan kepada Hakim Sesyen (HMS) dalam hujahan bertulis bagi pihak Perayu.

“Pihak pendakwaan telah menarik perhatian mahkamah ini mengenai hujahan pembelaan yang mengatakan Hakim Sesyen telah menokok tambah fakta, menyembunyikan keterangan dengan meringkaskan nota prosiding, berat sebelah dengan cara ‘pick and choose’ keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi.

“Mahkamah ini memandang serius dakwaan-dakwaan yang tidak berasas dan tiada bukti terhadap seorang Hakim. Meneliti nota keterangan dan prosiding di Mahkamah Sesyen, mahkamah ini (Mahkamah Tinggi) mendapati Hakim Sesyen telah membuat dapatan dan penemuannya berlandaskan fakta dan keterangan yang terus dan sokongan,” kata Hakim Noorin dalam penghakiman bertulis yang diperoleh pihak media hari ini.



Penghakiman penuh itu turut mengatakan pendakwaan telah mengemukakan ‘saksi mata’ yang telah melihat kejadian termasuk saksi perubatan dan pakar yang menyokong kejadian pengabaian dan penganiayaan terhadap mangsa.

Menurutnya, Hakim Sesyen tidak terkhilaf apabila mendapati elemen pertuduhan (bahawa mangsa telah mengalami kecederaan fizikal dan emosi semasa berada dalam pemeliharaan perayu).

Susulan itu katanya, berdasarkan keseluruhan keterangan, ia menjuruskan kepada perayulah orang yang telah menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi remaja Istimewa itu.

Sebelum ini beliau berkata, pihak pembelaan mempertikaikan keterangan saksi pendakwaan (SP) kelima, penghuni Kondominium Irama Wangsa, Yasmin Nahar Mahmood dan SP8, rakan perayu, Suhana Zam.



Bagaimanapun katanya, mahkamah mendapati sukar untuk membuat dapatan, bahawa dua saksi tersebut telah mereka-reka cerita terhadap Siti Bainun.

“Ini kerana keterangan mereka disokong oleh keterangan perubatan yang merupakan bukti yang secara konsisten, mendapati kecederaan dialami oleh mangsa bukan satu kemalangan,” katanya.

Pada 3 Mei tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down Bella.

Hakim Izralizam memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan Siti Bainun gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dua pertuduhan tersebut.



Kemudian pada 2 Mei lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan penjara sama terhadap Siti Bainun apabila menolak rayuan Siti Bainun selaku perayu untuk mengetepikan sabitan bersalah terhadapnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button