Miliki pistol tiruan, ganja: Yusoff Rawther dituduh esok
Oleh – Syeikh Baran
Bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, lelaki tersebut yang ditahan di Jalan Bukit Kiara, di sini direman selama enam hari sejak Sabtu lalu.
Katanya, pemeriksaan polis menjumpai dua pucuk pistol tiruan dan ketulan mampat disyaki ganja di dalam kenderaan suspek.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai diminta supaya menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memaklumkan mengenai penahanan anak guamnya pada Jumaat lalu.
Peguam itu mengatakan Yusoff yang kini dalam tahanan reman menyatakan dengan jelas bahawa pistol dan dadah tersebut bukan miliknya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan perbicaraan kes saman Muhammed Yusoff terhadap Anwar atas dakwaan serangan seksual akan bermula pada 16 Jun tahun depan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Muhammed Yusoff mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut selepas diminta oleh Setiausaha Sulit Anwar, Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-150 Mahatma Gandhi anjuran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India kepada defendan.
Sementara itu Anwar memfailkan tuntutan balas pada September 2021 dengan menyatakan dakwaan salah laku seksual itu adalah ‘palsu dan direka’.
Dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas itu, Anwar mendakwa bahawa serangan seksual yang didakwa tidak mungkin berlaku kerana pada tarikh berkenaan, beliau melayani keluarga dan rakan di kediamannya di Bukit Segambut.
Sumber – KOSMO! ONLINE