Lelaki larikan kereta BMW tanpa bayar kos pembaikan RM38,000, cederakan pekerja bengkel

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki larikan kereta BMW tanpa bayar kos pembaikan RM38,000, cederakan pekerja bengkel

Seorang lelaki bukan saja melarikan kereta BMW yang dihantarnya ke bengkel untuk dibaiki tanpa membayar kos dikenakan berjumlah RM38,000, tetapi turut mencederakan tiga pekerja bengkel terbabit, semalam.



Dalam kejadian itu, pemilik bengkel kereta di Taman Setia Tropika di sini, bersama dua pekerjanya cedera dalam cubaan menghalang kereta BMW itu diambil lelaki terbabit tanpa bayaran, ketika suspek kononnya mahu melakukan pandu uji selepas kereta siap dibaiki.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 8.54 malam daripada pemilik bengkel berumur 29 tahun.

Katanya, kereta BMW itu dihantar lelaki berusia 40-an ke bengkel mangsa pada jam 12 tengah hari Sabtu lalu untuk dibaiki kerosakan dianggarkan bernilai RM38,000.

“Pada jam 8 malam semalam, pelanggan terbabit datang ke bengkel itu bersama rakannya berumur 40 tahun dan berpura-pura mahu pandu uji keretanya selepas siap dibaiki.



“Pemilik bengkel kemudian mengarahkan pekerjanya berumur 23 tahun mengikut suspek kerana bimbang pelanggan melarikan diri tanpa membuat sebarang pembayaran.

“Ketika ujian pemanduan dibuat di kawasan Taman Bukit Kempas, suspek menyuruh pekerja terbabit memeriksa bonet belakang kereta kerana kononnya terdengar bunyi bising.

“Apabila pekerja terbabit membuka pintu, rakan suspek menyembur pemedih mata dan terus melarikan kereta itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Balveer Singh berkata, mangsa cuba menahan kereta dipandu suspek yang melintasi kedainya dengan berpaut pada cermin sisi kereta pada lampu isyarat, tetapi cuba dilanggar suspek.



Katanya, seorang lagi pekerja bengkel berumur 29 tahun cuba mengejar kereta suspek dengan menaiki motosikal tetapi dihimpit sehingga jatuh.

“Akibat kejadian itu, pemilik bengkel itu mengalami kecederaan pada siku kanan, manakala pekerjanya mengalami pedih di bahagian mata akibat disembur dengan pemedih mata dan seorang lagi patah tangan kanan, luka di lutut dan melecur di pergelangan tangan kiri.

“Mangsa mendakwa kerugian kira-kira RM43,000 dan polis kini giat mengesan suspek terbabit.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Nazarul Izwan Abdul Manaf di talian 019-3811817,” katanya.



Balveer Singh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 324 kanun sama kerana sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau benda berbahaya.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button