Pahang nafi dakwaan UPNP bakar, musnah penempatan, peralatan pekebun haram

Oleh – Syeikh Baran


Pahang nafi dakwaan UPNP bakar, musnah penempatan, peralatan pekebun haram

Pahang menafikan dakwaan bahawa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) membakar dan memusnahkan struktur yang menempatkan pekerja dan peralatan pekebun haram di dalam kawasan yang terbabit dengan pencerobohan haram di Raub.



Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata hantaran yang dimuat naik dalam laman Facebook Save Musang King Alliance (SAMKA) semalam, seolah-olah memberikan gambaran kerajaan negeri menyalahgunakan kuasa dan membuat ugutan melalui cara tidak berperikemanusiaan.

“Ini adalah dakwaan yang tidak berasas dan cubaan untuk memainkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri serta Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang.

“Kerajaan negeri sentiasa menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak sesekali akan mengambil tindakan di luar prinsip terbabit,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata kerajaan negeri dalam hal ini, sentiasa mematuhi penghakiman Mahkamah Tinggi Malaya di Kuantan dan perintah Mahkamah Rayuan Malaysia di Putrajaya yang berkuat kuasa.



Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri akan kekal menegakkan undang-undang dan bertekad melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang aktiviti pencerobohan tanah secara haram di atas tanah kerajaan ditangani sebaik mungkin.

“Saya akan memastikan siasatan menyeluruh tuduhan SAMKA ini dan kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap cubaan untuk memburukkan imej kerajaan negeri. Saya berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan cubaan memfitnah tidak bertanggungjawab sebegini,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button