Teresa dua jam tunggu data telefon bimbit diambil MCMC

Oleh – Syeikh Baran


Teresa dua jam tunggu data telefon bimbit diambil MCMC

Selepas memberi keterangan di Bukit Aman semalam, Teresa Kok hari ini dipanggil pula ke ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Putrajaya untuk membantu siasatan berhubung kenyataan kontroversinya terhadap pelaksanaan pensijilan halal.



Ahli Parlimen Seputeh ketika dihubungi BH mengesahkan berada di agensi penguatkuasaan itu selama dua jam, selepas dipanggil MCMC.

Bagaimanapun, kata Naib Presiden DAP itu, dia tidak memberi keterangan sebaliknya, pegawai MCMC memanggilnya untuk mendapatkan data daripada telefon bimbitnya.

“Tiada apa (keterangan), saya sudah memberikan keterangan kepada polis semalam.

“Saya menunggu selama dua jam untuk mereka (pegawai MCMC) mengambil data daripada telefon saya,” katanya, hari ini.



Teresa semalam diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) dan peguamnya memberitahu, pemimpin DAP itu Teresa ketika ini disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, beliau turut disoal dengan lebih 20 soalan, namun tiada rampasan telefon bimbit dilakukan pegawai polis,

Pada 8 September lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) terhadap Teresa Kok membabitkan isu pensijilan halal yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

Siasatan terhadap Ahli Parlimen Seputeh itu dibuat susulan lima laporan diterima PDRM setakat ini.



“Setakat ini, pihak PDRM menerima lima laporan di seluruh negara dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“SOP siasatan 3R akan dijalankan setelah laporan polis diterima dan semua saksi-saksi akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button