Pesara wanita rugi lebih RM1 juta diperdaya sindiket mengaku polis, pegawai SKMM

Oleh – Syeikh Baran


Pesara wanita rugi lebih RM1 juta diperdaya sindiket mengaku polis, pegawai SKMM

Seorang pesara kakitangan awam wanita kerugian lebih RM1 juta selepas diperdaya sindiket yang mendakwa mangsa kononnya terbabit dalam kes pengubahan wang haram.



Mangsa yang berusia 67 tahun sebelum itu menyerahkan kad ATM miliknya kepada individu yang mengaku polis dan pegawai SKMM kononnya bagi membantu menyelesaikan kes dihadapinya itu.

 

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata laporan kejadian penipuan itu diterima pada jam 4.12 petang kelmarin daripada pesara wanita terbabit selepas menyedari ditipu sindiket menyamar pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta polis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa mula dihubungi sindiket terbabit sejak 8 Ogos lalu ketika berada di rumahnya di Taiping apabila seorang wanita kononnya pegawai SKMM memaklumkan mangsa terbabit kegiatan pengubahan wang haram.

Katanya, talian itu kemudian disambungkan kepada seorang lelaki mengaku anggota polis berpangkat sarjan bagi menyelesaikan kes itu.



“Rentetan itu, mangsa kemudian dihubungi beberapa individu lain mengaku pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

“Mangsa diarah meninggalkan kad ATM Hong Leong Bank miliknya diletakkan dalam sampul surat di atas rumput di alamat seperti diarahkan suspek.

“Selepas itu, mangsa menerima mesej notifikasi pengeluaran wang daripada akaun Hong Leong Bank miliknya dari tarikh 16 Ogos hingga 23 Ogos lalu ke dua akaun bank berbeza. Terdapat juga pengeluaran wang melalui mesin ATM membabitkan jumlah keseluruhan RM476,550, menerusi 75 kali transaksi,” katanya pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Azizi berkata, mangsa juga diarahkan dua suspek yang mengaku pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan supaya memindahkan wang dalam akaun banknya ke akaun pihak ketiga untuk siasatan bagi mengelak wang dalam akaun dibekukan.



“Kedua-dua suspek berjanji akan mengembalikan wang mangsa selepas siasatan selesai. Disebabkan percaya dengan suspek, mangsa melakukan 24 lagi transaksi pemindahan wang daripada akaun bank AmBank miliknya ke sembilan akaun bank berbeza membabitkan jumlah RM590,000 mulai 24 Ogos hingga 3 September lalu.

“Sebaik saja membuat semakan melalui penyata AmBank dan Hong Leong Bank miliknya, mangsa mendapati mengalami kerugian RM1,066,550. Mangsa mengesyaki dirinya ditipu dan kemudian membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (tipu),” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button