Mujahid akui GISBH pernah minta sokongan perniagaan mereka
Oleh – Syeikh Baran
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengakui wakil pengurusan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) pernah menemuinya untuk meminta sokongan terhadap perniagaan syarikat berkenaan ketika beliau masih bergelar menteri.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata beliau bagaimanapun tidak melayan mereka dan memberi sebarang perakuan.
“Ketika saya menteri, mereka ada beberapa kali bertemu saya di pejabat selain ketika berjumpa dalam majlis, menyatakan hasrat mahu ‘endorsement’ (sokongan) mengatakan syarikatnya bagus. Kita tidak layan atau memberikan apa-apa perakuan.
“Sebagai contoh, ketika saya pergi ke Bosnia, mereka juga ada menyertai dan membuka gerai pameran. Mereka minta kita beri pengiktirafan kejayaan perluasan empayar perniagaan ke persada antarabangsa.
“Cuma ketika itu, tiada dakwaan serius seperti isu eksploitasi seperti sekarang. Mereka hanya datang mendekati dan menjemput saya ke program.
“Setahu saya, tiada kontroversi kerana saya faham mereka dalam radar (perhatian) kerana masih berkait pertubuhan Al-Arqam,” katanya kepada BH, hari ini.
GISBH dipalit kontroversi selepas 20 premis yang dikaitkan dengan syarikat itu sebagai pusat jagaan dan rumah amal kendaliannya diserbu polis awal pagi semalam.
Dalam Op Global itu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun, selain menahan 171 individu mengendalikan premis terbabit untuk siasatan lanjut.
Bagaimanapun wujud dakwaan rangkaian syarikat itu masih cuba menghidupkan doktrin atau ketaasuban kepada pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad apabila buku tulisannya yang difatwakan haram, ditemui ketika serbuan dibuat.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata doktriniasasi dari kecil sepatutnya tidak berlaku kerana agama bukan doktrin tetapi amalan yang dianuti dan diterima seluruh umat Islam serta bukan didokong oleh sekelompok pihak tertentu atau sesuatu parti.
“Namun apabila timbul amalan iaitu individu seorang yang terulung mengatasi kebesaran Ilahi, itu jelas syirik, menghina maruah kesucian Islam dan ternyata menunggang agama.
“Saya tidak mahu terus menghukum kerana ketaasuban itu antara fenomena menggunakan agama Masyarakat perlu berhati-hati kerana isu tunggangan agama bukan saja berlaku di GISB, tetapi dilakukan orang politik, pempengaruh serta lain-lain.
“Saya tahu proses ini masih panjang namun jika dakwaan itu benar, ia sangat menyedihkan kerana aktiviti Al-Arqam sudah diharamkan, rupanya masih ada.
“Sepatutnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dari awal kena buat risikan dan mengambil tindakan kerana fatwa kekal haram,” katanya.
Mujahid berkata pihak berwajib perlu terus membuat pemantauan kerana gerakan itu diketahui menukar-nukarkan nama, tetapi kini lebih bahaya kerana GISBH berkembang sebagai empayar perniagaan dalam dan luar negara.
Sementara itu, Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata pihak berkuasa perlu segera mengambil tindakan terhadap syarikat terbabit dalam jenayah dera dan liwat atau seksual lain.
“Pihak berkuasa perlu bertindak tegas dengan membatalkan perniagaan sekiranya terbukti terdapat eksploitasi kanak-kanak dan melakukan pendakwaan kerana anak-anak bawah umur sebagai pekerja, ia jenayah terancang dan wajib dibanteras,” katanya.
Sumber – BERITA HARIAN