Warga Sri Lanka ditahan, kes keempat pemalsuan identiti tahun ini

Oleh – Syeikh Baran


Penahanan lelaki Sri Lanka di sempadan Malaysia-Thailand semalam, adalah kes keempat membabitkan pemalsuan identiti sepanjang tahun ini.



Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, kes pertama pada 24 Januari lalu, yang mana suami isteri warga Malaysia ditahan selepas cuba memohon pasport untuk kanak-kanak lelaki warga Sri Lanka di Pejabat Imigresen Kulim.

“Pasangan terbabit menyerahkan sijil lahir kanak-kanak berkenaan, namun pegawai kaunter meragui identiti sebenar kanak-kanak itu kerana dia tidak fasih berbahasa Melayu.

“Pasport yang sudah dikeluarkan kepada kanak-kanak itu dibatalkan, namun kanak-kanak terbabit dibawa lari oleh ejen,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Ridzzuan berkata, kejadian kedua pada 2 Mac lalu membabitkan cubaan kanak-kanak lelaki warga Sri Lanka berusia 10 tahun keluar ke Thailand menggunakan pasport Malaysia.



“Dia dikesan di kaunter motosikal ICQS Bukit Kayu Hitam dan bersamanya, wanita tempatan yang bertindak sebagai ‘transporter’ menunggang motosikal penambang Thailand untuk keluar dari negara ini.

“Semakan mendapati pasport asal milik kanak-kanak itu dilapor hilang dan sudah dibatalkan, malah siasatan lanjut mendapati kanak-kanak terbabit budak yang sama bagi kes pertama,” katanya.

Sementara itu, kes ketiga pada 29 Jun lalu membabitkan dua warga asing warga sama yang ditahan ketika cuba keluar dari negara ini menggunakan pasport Malaysia, modus operandi sama dalam kes sebelumnya.

“Berikutan itu, pada 30 Jun lalu, pasukan JIM Kedah ditugaskan untuk menyiasat di kawasan pintu keluar ICQS Bukit Kayu Hitam dan dua warga Sri Lanka serta dua warga tempatan ditahan ketika memasuki Malaysia menaiki Proton Iriz di Kompleks Zon Bebas Cukai,” katanya.



Mohd Ridzzuan berkata, kes semalam adalah cubaan keempat yang dilakukan oleh warga Sri Lanka menggunakan Pasport Malaysia untuk keluar dari negara ini melalui pintu sempadan ICQS di Bukit Kayu Hitam.

Beliau berkata, siri penahanan itu menunjukkan peningkatan dalam kes penyamaran dan penggunaan dokumen palsu yang akan terus menjadi fokus utama penguatkuasaan JIM Kedah.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button