Bekas pekerja GISBH dakwa tak pernah terima gaji sepanjang 10 tahun

Oleh – Syeikh Baran


Bekas pekerja GISBH dakwa tak pernah terima gaji sepanjang 10 tahun

Seorang bekas pekerja Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) mendakwa tidak pernah menerima gaji sepanjang tempoh 10 tahun bekerja dengan syarikat itu.



Buletin Utama melaporkan, pada peringkat awal bekerja, terdapat satu sistem digunakan syarikat bagi membayar beliau antara RM50 dan RM100 seminggu.

“Itu yang saya ingatlah waktu itu, sampai 2013 macam tu. Lepas itu 2014, saya sudah mula bekerja sepenuh masa, tiada gaji.

“Maknanya, ia cuma beri makan minum dan tempat tinggal,” kata bekas pekerja itu.

Beliau mendakwa, terdapat pekerja lain yang juga senasib dengannya.



Beliau kemudian berhenti kerja dan membawa kesnya ke Mahkamah Buruh.

Pada 8 September lalu, mahkamah memerintahkan GISBH membayar RM23,100 kepada beliau sebagai sebahagian daripada tuntutan kes.

GISBH ketika ini berdepan pelbagai dakwaan berhubung eksploitasi dan penderaan kanak-kanak.

Dalam Op Global dijalankan antara jam 6 hingga 11 pagi Rabu lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.



Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut menahan 171 individu terdiri daripada kakitangan, pengurus dan ustaz di rumah amal berkenaan.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata, berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button