13 kanak-kanak di rumah amal GISBH pernah diliwat – KPN

Oleh – Syeikh Baran


13 kanak-kanak di rumah amal GISBH pernah diliwat - KPN

Tiga belas kanak-kanak yang menjadi penghuni rumah perlindungan yang diserbu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Global Rabu lalu disyaki telah diliwat.



Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain, berkata ia berdasarkan saringan perubatan yang dijalankan terhadap 13 mangsa itu yang menghuni di 20 rumah perlindungan yang dikaitkan dengan ‘Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH) di Selangor dan Negeri Sembilan.

Saringan dijalankan dengan bantuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kesemua yang menjadi mangsa liwat ini terdiri daripada mereka yang berumur di bawah 17 tahun,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.



Sehubungan itu, Razarudin berkata, polis telah membuka empat kertas siasatan terhadap empat lelaki yang disyaki melakukan perbuatan berkenaan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Beliau berkata sembilan orang dikenal pasti diliwat selepas pihak polis melakukan siasatan fasa kedua, manakala bakinya pada fasa sebelumnya.

“Pada serbuan bertarikh 2 September lalu, kita terima laporan di Negeri Sembilan dan Selangor terdapat empat mangsa yang diliwat.

“Siasatan lanjut fasa kedua dalam serbuan pada 11 September lalu pula mendapati sembilan lagi mangsa telah dikenal pasti. Jadi siasatan dibuat di bawah satu kertas siasatan yang sama,” katanya.



Menurutnya, semua kanak-kanak itu berusia belasan tahun.

Pada sidang media Rabu lalu di Kuantan, Razarudin berkata, siasatan mendapati modus operandi yang dilakukan di rumah amal dikaitkan GISBH adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Dalam Op Global dijalankan antara jam 6-11 pagi Rabu lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.



Dalam operasi itu pihak berkuasa turut menahan 171 individu terdiri daripada kakitangan, pengurus dan ustaz di rumah amal berkenaan.

Razarudin berkata berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Mengenai 402 penghuni yang diselamatkan menerusi Op Global itu, Razarudin berkata 392 telah selesai menjalani saringan kesihatan melibatkan 202 lelaki dan 190 perempuan.

Sepuluh lagi mangsa yang merupakan Orang Kurang Upaya dan autisme bersama 49 kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah telah diserahkan kepada (JKM) untuk ditempatkan sementara di rumah perlindungan di Bukit Beruntung, Cheras dan Seremban, Negeri Sembilan.



Razarudin juga berkata, saringan kesihatan terhadap mangsa-mangsa yang diselamatkan turut mendapati 172 daripada mereka mempunyai kesan kecederaan fizikal lama serta membabitkan emosi.

“Kesihatan mental dan tahap tumbesaran kanak-kanak ini tidak setara. Saringan ini dilaksanakan ke atas 172 mangsa terdiri daripada 130 kanak-kanak lelaki dan 40 lagi perempuan.

“Justeru, terdapat keperluan untuk melakukan saringan lanjut bagi meneliti tahap kesihatan mental, fizikal dan tumbesaran keseluruhan mangsa terbabit,” katanya.

Polis nafi lewat bertindak



Mengenai dakwaan pihak berkuasa lewat bertindak, Razarudin bagaimanapun menafikan perkara itu, selain menjelaskan siasatan kes terbabit sudah dilakukan sejak 2011.

Mengetengahkan contoh pembanterasan komunis, katanya, kelompok berkenaan hanya serah diri pada 1989 walaupun keseluruhan proses berkenaan dilakukan sejak 1948.

“Tindakan ini (dibuat secara) berterusan (siasatan kes berkaitan GISBH). Kita sentiasa kumpul maklumat berkaitan daripada petugas, jadi tidak timbul isu kita lewat ambil tindakan.

“(Ia) memang dalam tindakan kita, tetapi masa inilah kita dapat bertindak berdasarkan keterangan yang ada ketika ini. Kita sudah ambil tindakan, justeru tak perlu ungkit kisah lama,” katanya.

Ditanya keperluan GISBH diharamkan, beliau berkata, sebarang keputusan mengenainya akan dimuktamadkan selepas siasatan menyeluruh dilengkapkan kelak.

“Kita mahu siasat dulu sebelum membuat sebarang keputusan yang akan diangkat kepada kerajaan ataupun mufti di peringkat negeri. Kita perlu lakukan siasatan rapi dan adil dan tidak boleh terus menjurus ke arah ini (pengharaman),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata, perintah reman sudah dikeluarkan terhadap 159 daripada 171 suspek berusia 18 hingga 51 tahun yang ditahan dalam Op Global di 20 lokasi di Negeri Sembilan dan Selangor, baru-baru ini.

Baki suspek tidak boleh direman selepas mengambil kira faktor usia dengan kebanyakan tempoh tahanan yang dibenarkan mahkamah adalah antara empat hingga tujuh hari.

“Satu kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan juga dibuka di Putrajaya, selepas seorang wanita berusia 20-an yang menerima ugutan daripada lelaki berusia 39 tahun.

“Lelaki dari ‘Remaja Pembela Ummah’ (RPU) itu mengugut wanita terbabit untuk menarik balik laporan polis dibuatnya, selain suspek sudah ditahan,” katanya.

GISBH muncul selepas Darul Arqam diharamkan dan beberapa pemimpin kanannya ditahan polis pada 1994 mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selepas pengharaman Darul Arqam, pengikut menubuhkan Rufaqa Corporation disusuli penubuhan GISBH pada 2008 sebagai organisasi perniagaan berasaskan agama dengan doktrinnya masih tarekat Aurad Muhammadiah yang diharamkan.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button