Tiga remaja ditahan disyaki sindiket dapatkan akaun bank keldai

Oleh – Syeikh Baran


Tiga remaja ditahan disyaki sindiket dapatkan akaun bank keldai

Polis menahan tiga individu termasuk seorang remaja perempuan disyaki ahli sindiket penipuan yang menjalankan kegiatan mendapatkan akaun bank keldai untuk digunakan bagi tujuan penipuan melalui dalam talian, semalam.



Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, dua remaja lelaki berusia 19 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun itu ditahan di Bayan Lepas oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

“Bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, pihak polis menyerbu sebuah premis dan menahan tiga individu tersebut dan merampas 11 telefon bimbit pelbagai jenama, dua simcard dan sekeping kad bank,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang lelaki berusia 58 tahun ditahan di Jalan Kuala Sungai Pinang di sini semalam bagi membantu siasatan berhubung kes pukul dan ugutan jenayah membabitkan dua beranak.



Kamarul Rizal berkata, berdasarkan laporan polis dibuat oleh seorang lelaki, semasa kejadian dia bersama ibunya berada di hadapan rumah sebelum didatangi lelaki itu dan kemudiannya mengancam ibunya.

“Suspek itu kemudiannya bertindak menampar dan menumbuk mangsa sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian dada kiri, luka di tangan kanan serta luka di bahagian bibir, namun ibunya tidak dipukul,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek itu mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan dia kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 serta 506 Kanun Keseksaan.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button