Wanita rugi lebih RM350 ribu, diperdaya individu menyamar ‘polis’, ‘pegawai MCMC’

Oleh – Syeikh Baran


Wanita rugi lebih RM350 ribu, diperdaya individu menyamar 'polis', 'pegawai MCMC'

Seorang wanita warga tempatan kerugian RM350,100 selepas diperdaya sindiket yang mendakwa mangsa terbabit dalam aktiviti menyebarkan pelaburan haram.



Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian berlaku pada 12 Ogos, apabila mangsa berusia 37 tahun dihubungi melalui satu nombor tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Mangsa diberitahu mempunyai 44 aduan salah laku mengedar atau menyebarkan pelaburan haram yang dilakukan menerusi nombor telefonnya.

“Dalam masa yang sama, talian disambungkan kepada seorang suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis. Suspek mengarahkan mangsa supaya membuat pinjaman bank bagi menyelesaikan urusan jenayah itu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Abang Zainal berkata, selepas kejadian berkenaan, mangsa membuat semakan terhadap akaun peribadi miliknya dan mendapati terdapat pindahan wang ke beberapa akaun tidak dikenali.



“Berikutan kejadian itu mangsa melakukan laporan polis dan hasil siasatan mendapati kerugian adalah daripada simpanan serta pinjaman wang dilakukan mangsa melalui bank,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik dan percaya dengan apa jua dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon daripada individu tidak dikenali,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button